Monday, February 9, 2009

Memahami pemikiran Imam Syafie

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

RAMAI mengenali Imam Syafie sebagai seorang guru besar dalam fekah dan usul fekah, malah dengan kehadiran kitabnya ar-Risalah (usul fekah) dan al-Um (fekah), ada pula pihak yang menidakkan kepakaran beliau dalam aspek lain, sedangkan ia tidak sedemikian.

Dekan Fakulti Agama Islam Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia, Dr H Yunahar lyas, berkata Imam Syafie juga terkenal sebagai seorang ahli hadis dan sastera Arab.

“Bahkan sejak usia kanak-kanak, beliau sudah menghafal ribuan syair. Satu karya sasteranya yang terkenal ialah kumpulan syair, Diwan as-Syafie.

“Keahlian Imam Syafie dalam bidang akidah juga tidak kurang pentingnya, tetapi tidak ramai yang mengetahuinya,” katanya di Seminar Pemikiran Tajdid Imam Syafie di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar anjuran Kerajaan Negeri Perlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Imam Syafie adalah seorang ulama salaf yang secara murni mengikuti al-Quran dan sunnah tanpa dipengaruhi oleh ahli falsafah (kalam), malah banyak mengkritik ahli kalam yang membahas persoalan akidah dengan pendekatan falsafah.

Yunahar berkata, tajdid pemikiran Islam dilakukan Imam Syafie dalam dua bentuk.

“Pertama, pemurnian tauhid dari segala bentuk kemusyrikan, tahyul dan khurafat, memurnikan ibadat dari segala bentuk bidaah dan akhlak dari nilai bertentangan dalam Islam.

“Kedua, reformasi iaitu menterjemahkan dan mengembangkan ajaran Islam dalam aspek muamalat atau ibadat secara umum sehingga dapat menjawab persoalan dihadapi umat manusia sepanjang zaman,” katanya.

Imam Syafie menjadikan al-Quran dan sunnah sumber kepada ajaran Islam, yang mampu menjawab semua persoalan, sama ada berkaitan fekah atau akidah.

“Dalam menetapkan masalah akidah, Imam Syafie memulainya dengan menyebut nas al-Quran dan sunnah termasuk ketika berhujah menghadapi penentang.

“Kita tidak menemui Imam Syafie melakukan takwil terhadap nas terbabit dan tidak pula menemui beliau merujuk nas itu kepada pendapat ahli ilmu kalam,” katanya.

Dalam kes pelaku dosa besar misalnya, Imam Syafie mempunyai pendapat yang jelas terutama pendekatan bersifat falsafah.

“Imam Syafie berpendapat pelaku dosa besar tetap menjadi seorang Muslim. Jika bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Jika mati dalam berbuat dosa, urusannya diserahkan kepada Allah, sama ada diampuni atau diseksa. Yang jelas tidak kekal di dalam neraka.

“Kelompok Khawarij mengatakan orang Islam yang melakukan dosa besar menjadi kafir, jika tidak bertaubat kekal di dalam neraka.

“Muktazilah mengatakan, si pelaku dosa besar di dunia berada di antara dua posisi, tidak kafir dan tidak mukmin.

“Bagi Murjiah, orang yang mengucapkan La ilaha illallah adalah mukmin yang sempurna imannya dan setiap mukmin pasti masuk syurga. Mereka mengatakan dosa tidak mempengaruhi iman.”

Menurutnya, tajdid yang dilakukan Imam Syafie masih relevan dilakukan dalam zaman sekarang, kerana sampai hari ini akidah umat Islam belum lagi bersih dari unsur kemusyrikan.

No comments:

Hit CountersRank Noodle